Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital – Don Tapscott

by Aqif Azizan

 Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital - Don Tapscott

Tajuk: Rangka Tindakan Ekonomi Digital.
Penulis: Don Tapscott (Penterjemah: Mokhtar Ahmad).
Harga: RM50 sahaja.
Muka surat: 409 muka surat.
Penerbit: ITMNB (Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad).
Laman web: Klik di sini.

Buku ini mempunyai sub-tajuk yang agak menarik perhatian.

“Membina Kekayaan Dalam Era E-Niaga.”

Buat pengetahuan para pembaca, buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital yang ditulis oleh Don Tapscott adalah buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital - Don Tapscott (Kaver Hadapan)

Buku ini juga adalah buku kedua yang diulas selepas buku Pembangunan Ekonomi Dalam Islam yang ditulis oleh Dr. Abulhassan Muhammad Sadeq. Terdapat beberapa persamaan yang ketara di antara kedua-dua buku ini.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital – Buku Zaman Netscape

Antaranya adalah buku yang diterjemahkan oleh Tuan Mokhtar Ahmad ini juga berkaitan dengan ekonomi. Bezanya adalah topik ini lebih tertumpu pada perniagaan berbentuk e-niaga.

E-niaga adalah terma lain yang digunakan untuk perniagaan digital atau web. Umumnya, buku ini membincangkan topik yang jarang dibincangkan oleh mana-mana usahawan Internet tempatan masa kini.

Di mana kebanyakan topiknya berkaitan dengan bagaimana kuasa World Wide Web dan Internet merevolusikan dunia perniagaan 360 darjah. Dalam masa sama, buku ini boleh dikategorikan buku klasik.

Kerana semasa buku ini memasuki proses penerbitan, Netscape baru sahaja disenaraiawamkan.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital – 4 Bahagian Kajian Perniagaan Internet

Rangka Tindakan Ekonomi Digital mempunyai 4 pecahan bahagian yang membincangkan topik yang berbeza iaitu:

Bahagian #1 – Peraturan Baru Persaingan

Penulis membawa pendekatan yang kritikal dalam bab pertama. Yakni membicarakan tentang kemusnahan perniagaan konvensional dan tradisional setelah zaman e-niaga mula berkembang pesat.

Antara nama syarikat perintis yang disebut dalam bab pertama ini adalah seperti:

  • Microsoft.
  • Intel.
  • Cisco.
  • eBay.

Bahagian #2 – Transformasi Industri

Dalam bab kedua, Don Tapscott menulis tentang penerangan yang lebih meluas mengenai strategi yang wajar diadaptasi oleh para usahawan, yang ingin mengembangkan perniagaan dalam era yang diberi nama ekonomi digital.

Terdapat 6 industri utama yang disebutkan dalam bab ini:

  1. Perbankan.
  2. Penerbitan.
  3. Pengimejan.
  4. Pendidikan.
  5. Telekomunikasi.
  6. Logistik.

Bahagian #3 – Membolehkan Perusahaan Berangkaian Internet Berfungsi

Maklumat-maklumat klasik dan penting yang diperoleh dalam bab ketiga ini menjelaskan tentang fasa-fasa revolusi dunia teknologi maklumat yang berlaku di dunia.

Antara data menarik yang penulis dapat dalam bab ini adalah kepesatan teknologi Internet pada tahun 1997 sehingga 2000. Penulis buku menyatakan anggaran bilangan pengguna Internet dalam tempoh ini meningkat sehingga 250 juta dari 75 juta.

Ia menjelaskan betapa hebatnya kuasa ledakan Internet ketika kita masih kecil lagi.

Bahagian #4 – Tadbir Urus Dalam Abad 21

Bab terakhir dalam buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital ini lebih banyak membincangkan tentang pendapat-pendapat pakar di seluruh dunia, mengenai corak pentadbiran kerajaan yang bakal berubah akibat daripada kuasa Internet.

Dua fokus yang ditekankan dalam bab ini adalah:

  1. Masa depan kerajaan dalam menangani era Internet yang berkembang pesat.
  2. Gambaran menyeluruh terhadap corak pentadbiran kerajaan.

Tidak Semua Sesuai Membaca Buku Ini

Buku tulisan Don Tapscott yang diterjemah oleh Mokhtar Ahmad ini bukan untuk bacaan santai. Pertama-tama, bahasa terjemahan yang digunakan agak berat dan sukar untuk difahami oleh sesetengah pembaca.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital

Namun begitu, maklumat dan data yang dapat diambil daripada buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital ini dapat membantu kita, untuk memahami tentang bagaimana caranya untuk kita memaksimumkan kekayaan menerusi perniagaan berasaskan Internet.

Pendapat penulis, ia akan mengambil masa yang lama untuk kita menghadam informasi-informasi yang terkandung dalam buku ini. Kerana ia mengandungi lebih 300+ muka surat yang padat dengan maklumat dan rujukan penting.

Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital – 27 Penulis Hebat Bekerjasama

Satu elemen menarik yang terkandung dalam buku terjemahan Mokhtar Ahmad ini adalah, kita ibarat mempunyai 1 buku yang menghimpunkan 27 penulis.

Rangkan Tindakan Ekonomi Digital - 27 Penulis Bersama

Kerana Don Tapscott bekerjasama dengan orang-orang bertaraf ‘pakar industri’ seperti:

  • Vincent P. Barabba – Pengurus Besar Jabatan Pembangunan Strategi dan Pengetahuan Korporat di General Motors.
  • John Seely Brown – Ketua Ahli Sains di Syarikat Xerox dan Pengarah Pusat Penyelidikan Palo Alto (PARC).
  • Lloyd F. Darlington –  Ketua Pegawai Teknologi dan Pengurus Besar Emfisys di Bank of Montreal.
  • Carl E. Gustin Jr. – Ketua Pegawai Pemasaran (CMO) dan Naib Presiden Kanan di Syarikat Eastman Kodak.
  • Raymond J. Lane - Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Syarikat Oracle.
  • Dan ramai lagi.

Wajarkah Beli Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital?

Tidak wajar jika kita merupakan seorang pembaca yang suka pada bacaan yang santai dan ringkas.

Rangka Tindakan Ekonomi Digital - Beli Atau?

Tetapi disarankan kepada para pembaca yang meminati dunia perniagaan Internet, dan mereka yang berminat untuk mengetahui pendapat pakar-pakar terdahulu mengenai era e-niaga atau lebih dikenali dengan perniagaan Internet hari ini.

Berdasarkan bacaan sekali imbas, banyak perbincangan dalam buku ini yang sudah berlaku pada zaman sekarang. Antaranya adalah potensi bekerja di rumah dan menjana pendapatan sehingga ratusan juta ringgit.

Bagi yang berminat untuk membeli buku ini secara online, sila layari laman web di bawah:

Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital - Don Tapscott

Beli Buku Rangka Tindakan Ekonomi Digital (Klik Di Sini)

Penulis memilih buku ini kerana ingin mengetahui pendapat pakar-pakar perniagaan dan ahli falsafah terdahulu, mengenai potensi perniagaan Internet dalam tempoh 30 tahun dari sekarang.

Dalam masa sama, mendapatkan lebih banyak idea untuk dipraktikkan dalam dunia perniagaan Internet hari ini.

Kebanyakan maklumat dalam buku ini masih relevan untuk digunakan dalam strategi pemasaran, pembangunan produk dan pembinaan aplikasi berkaitan Internet bagi menepati keperluan pengguna masa kini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Comment

CommentLuv badge

Previous post:

Next post: