Ingin tahu cara yang betul memulakan bisnes ebook? Ingin tahu pengalaman sebenar daripada seorang usahawan ebook? Maka ini tujuan blog Aqif Azizan (dot) com ditubuhkan. Perjuangan untuk menyampaikan ilmu-ilmu untuk membantu para pembaca, memulakan bisnes ebook serta merta.
Temubual kali ini akan membawa kepada kita satu dimensi baru, iaitu perkongsian daripada seorang usahawan ebook sepenuh masa, yang sentiasa memperjuangkan dirinya dalam bisnes memandaikan bangsa ini. Beliau adalah Tuan Khairul Hazwan.
Mungkin tuan dan puan pernah dengar nama beliau dalam niche yang lain daripada ‘make money online‘. Namun biarlah entri temubual eksklusif kali ini yang akan menjawab, semua persoalan kita mengenai strategi yang betul, untuk bergelar sebagai seorang penulis ebook sepenuh masa.
Mari kita sama-sama baca. Tuan dan puan juga boleh muat turun transkrip PDF pada bahagian akhir temubual ini.
#1 – Boleh terangkan bagaimana Tuan Khairul Hazwan didedahkan dengan perniagaan ebook?
Salam hormat dan ribuan terima kasih saya ucapkan terlebih dahulu, buat Tuan Aqif Azizan dan pihak AqifAzizan.com yang sudi menemuramah saya. Saya amat hargainya.
Saya mula mendapat pendedahan tentang perniagaan ebook melalui ikon usahawan internet tanahair kita, iaitu Irfan Khairi. Siapa yang tidak kenal Irfan Khairi?
Ketika itu pada tahun 2008 iaitu ketika saya masih bekerja makan gaji, di salah-sebuah syarikat multinasional ternama. Memang sejak di Universiti lagi saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang usahawan. Saya berpendapat, sebaik sahaja saya tamat belajar, saya perlu juga cari kerja untuk mencari modal.
Dalam masa itu jugalah saya sudah mula mencari-cari peluang perniagaan. Setelah saya kaji, perniagaan internet dan secara spesifiknya perniagaan berbentuk produk informasi digital, iaitu ebook menjadi pilihan saya.
Saya banyak menonton video-video Youtube di Channel Irfan Khairi dan membaca blog beliau (semua sumber-sumber ilmu tersebut adalah percuma sahaja
. Di situ beliau sendiri menyarakan untuk cuba ceburkan diri dalam perniagaan ebook. Ia memang konsep perniagaan internet yang paling sesuai dijalankan, untuk masa kini dan sampai bila-bila pun kerana menggunakan satu konsep ini.
Konsep tersebut adalah, ‘Orang ramai guna Internet untuk buat apa? Jawapannya adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk mencari maklumat atau informasi.’ Oleh itu, anda boleh jual maklumat atau informasi tersebut dalam bentuk ebook.
Saya sangat bersetuju dengan pendapat ini lalu atas dasar konsep tersebutlah, saya terus ceburkan diri dalam perniagaan ebook.
Pendek kata, selagi mana adanya Google, selagi mana wujudnya internet, maka selagi itulah permintaan untuk ebook akan sentiasa ada malah terus meningkat.
#2 – Apakah perkara yang paling penting, untuk seseorang itu memulakan perniagaan ebook? Boleh kongsi berdasarkan pengalaman Tuan Khairul Hazwan sendiri?
Sebagai permulaan, kepada mereka yang ingin ceburkan diri dalam perniagaan ebook, mereka perlu ada 2 perkara ini. Tidak banyak, 2 sahaja.
Pertama sekali anda perlulah minat dan suka membaca. Membaca bukan sebarang membaca, tapi membaca dengan banyak. Tidak kira samada buku, majalah, blog, artikel di laman web, ebook atau apa sahaja bahan-bahan bacaan dan ilmiah.
Ini penting bagi memudahkan anda untuk mendapatkan idea, dan melakukan kajian untuk menulis ebook-ebook anda pada masa akan datang.
Selain itu, dengan banyak membaca, ia mampu mengasah lagi kemahiran menulis anda.
Perkara kedua adalah anda perlu minat dan suka menulis. Hendak hasilkan ebook pun anda perlulah menulis. Betul?
Ya, memang saya tidak nafikan anda boleh sahaja upah orang lain untuk tuliskan ebook anda. Tetapi sampai bila anda ingin begitu? Jika anda baru bermula, adakah anda mempunyai modal yang besar untuk upah orang lain menulis ebook sehingga berpuluh-puluh mukasurat?
Memang tiada jalan lain melainkan anda menulisnya dengan sendiri.
Lagi satu, percayalah cakap saya, anda perlu suka menulis demi masa depan perniagaan ebook anda itu sendiri.
Jika anda suka menulis, ia akan memberi anda momentum motivasi untuk terus menghasilkan ebook-ebook yang terbaru. Disamping itu, ia turut akan memberi anda rasa satu kepuasan dalam menjalankan perniagaan ebook anda apabila sesebuah ebook hasil tulisan anda sendiri siap.
Dalam perniagaan ebook ni, mudah sahaja konsep dia, semakin banyak ebook yang anda hasilkan, semakin bertambahlah pendapatan dan keuntungan anda.
#3 – Seperti kata Irfan Khairi, 97% perniagaan akan mengalami kegagalan pada 3 tahun pertama. Sudah berapa lama Tuan Khairul Hazwan menjalankan bisnes ebook ini? Serta bagaimana tuan mengelakkan diri tuan daripada terjerumus daripada kancah kegagalan ini?
Saya boleh dikatakan mula serius dan melakukan perniagaan ebook ini secara sepenuh-masa pada tahun 2010. Memang boleh dikatakan baru setahun jagung juga kini. Tetapi saya mempunyai visi dan pelan perniagaan jangka masa panjang serta pendek yang jelas.
Baik, untuk menjawab persoalan bagaimana untuk kita boleh elakkan diri daripada gagal dalam perniagaan ebook. Malah bukan sahaja perniagaan ebook, apa yang bakal saya kongsikan ini boleh diaplikasikan dalam apa jua jenis perniagaan pun.
Dalam perniagaan ebook iaitu boleh saya katakan perniagaan yang berbentuk penulisan, kita memerlukan 2 jenis kaedah penjanaan pendapatan.
Apa-apa perniagaan pun matlamat akhir kita adalah tidak lain dan tidak bukan, untuk mendapatkan jualan seterusnya dan keuntungan bukan?
Sama juga hal ini untuk perniagaan ebook kita. Kita memerlukan 2 jenis kaedah penjanaan pendapatan iaitu apa saya namakan sebagai “Quick Cash” dan “Asset Building”. Kalau dalam Bahasa Malaysia, “Wang Pantas” dan “Pembinaan Aset”.
Konsep ini sebenarnya saya pelajari daripada kursus The Four Weeks To Freedom hasil karya Tuan Zamri Nanyan. Ia memang benar-benar terbukti berkesan untuk kita terus bertahan, dalam perniagaan internet khususnya juga dalam perniagaan ebook.
Kita pergi dahulu kepada “Pembinaan Aset”. Pembinaan Aset di sini bermaksud menulis dan mencipta ebook anda itu sendiri. Ianya memang memerlukan banyak usaha dan masa yang lebih panjang.
Contoh bermula dari mengkaji pasaran, menulis rangka ebook, menulis isi kandungan ebook, membina web jualan sehinggalah aktiviti memasarkan ebook tersebut.
Ia mengambil jangka masa lebih kurang 2 bulan untuk siap sepenuhnya dan barulah ketika itu anda boleh ‘menuai’ hasil iaitu menjana pendapatan dari penjualan ebook tersebut.
Mari saya tanya anda, dalam tempoh masa 2 bulan tersebut, bagaimana pula anda, sebagai usahawan ebook sepenuh-masa ingin menjana pendapatan untuk kos sara hidup anda sendiri?
Maka kaedah kedua inilah jawapannya iaitu “Wang Pantas”.
Contoh kaedah penjanaan pendapatan melalui “Wang Pantas” ini adalah anda boleh mengambil upah dengan menawarkan servis-servis berkaitan penulisan. Contoh seperti menulis artikel, menulis blog post untuk blog orang lain dan servis menterjemah.
Seperti saya sendiri lakukan kini. Saya menawarkan servis penulisan surat jualan dan copywriting, dalam Bahasa Malaysia (http://servissuratjualan.com/) untuk saya dapatkan pendapatan ‘”Wang Pantas” ini.
Memang boleh dikatakan saya dapat duit ‘on the spot’ ketika ada pelanggan yang ingin menggunakan servis saya ini. Daripada situ, saya dapat menampung kos sara hidup bulanan saya.
Dalam masa yang sama, saya masih mengusahakan projek-projek penulisan ebook saya secara sambilan. Ebook tersebutlah apa yang dikatakan sebagai “Pembinaan Aset” yang akan saya siapkan dalam jangka masa 2-3 bulan.
Jadi, kesimpulan yang boleh kita buat di sini adalah, sebagai seorang Usahawan Ebook (dalam hal ini usahawan ebook sepenuh-masa), anda tidak boleh harapkan satu sumber pendapatan sahaja iaitu daripada penjualan ebook anda.
Perlu ada 2 jenis sumber pendapatan iaitu pendapatan hasil daripada kaedah “Wang Pantas” untuk menampung pendapatan sementara ebook anda siap, manakala kaedah “Pembinaan Aset” iaitu penghasilan ebook anda itu sendiri.
2 prinsip dan keadah ini lah yang saya pegang untuk memastikan perniagaan ebook saya untuk terus bertahan lama.
#4 – Jika diberikan 5 kriteria penting untuk memulakan bisnes ebook yang pertama, apakah kriteria yang akan digariskan oleh Tuan Khairul Hazwan?
Berikut adalah senarai kriteria-kriteria tersebut:-
- Rajin membaca.
- Suka menulis.
- Kerja yang kuat tanpa sesekali berputus asa walau apa pun ujian dan dugaan yang melanda.
- Bersabar dalam menunggu hasil setelah bekerja keras.
- Fokus kepada satu-satu projek ebook dalam satu-satu masa sehingga selesai.
#5 – Trafik dan pelawat merupakan aset penting, bagi menghasilkan jualan ebook kita. Apakah 3 strategi yang digunakan oleh Tuan Khairul Hazwan sendiri, untuk memastikan para pelawat memasuki laman web jualan ebook tuan setiap bulan?
Strategi yang pertama dan paling utama saya gunakan untuk menarik trafik berterusan, ke laman jualan ebook saya adalah merekrut seberapa banyak ajen affiliate yang akan membantu mempromosikan ebook saya.
Kaedah ini boleh saya katakan paling berkesan antara semua kaedah.
Selain ia adalah percuma sahaja, ia memberi kesan pemasaran viral. Cuba anda bayangkan, jika seorang ajen affiliate meletakkan banner ebook saya di laman blog dia, dan ada lagi seorang yang lain juga menjalankan pemasaran affiliate melihat banner tersebut. Sudah pasti mereka yang ternampak banner tadi akan turut mendaftarkan diri sebagai affiliate dan turut mempromosikan ebook saya.
Strategi kedua yang saya fokuskan adalah melalui blog merangkap SEO. Maksudnya di sini adalah saya akan tulis artikel-artikel berkaitan niche ebook saya di blog dot com saya sendiri (juga berkaitan niche ebook tersebut iaitu http://kursusperkahwinan.com/).
Dari situ saya boleh dapatkan trafik melalui Search Engine yang terjumpa blog post saya. Di blog saya pula saya akan letakkan banner yang mempromosikan ebook saya. Dari situ, bila mereka tiba di blog saya, sudah tentu mereka akan klik pada banner tersebut dan membawa mereka ke laman jualan ebook saya.
Strategi ketiga pula adalah melakukan ‘cross-promotion’. Maksudnya adalah saling mengiklankan ebook-ebook saya diantara ebook-ebook tersebut sendiri.
Sebagai contoh saya mempunyai ebook berkaitan perkahwinan iaitu “Indahnya Malam Pertama Pengantin” (http://malampertamapengantin.com/), dan dalam masa yang sama saya turut mempunyai satu lagi ebook yang berkaitan perceraian rumahtangga bertajuk “99 Punca Perceraian” (http://puncacerai.com/).
Dalam kedua-dua ebook tersebut, pada mukasurat terakhir saya akan letakkan iklan yang mempromosikan ebook berbeza tersebut. Dari situ saya akan mendapat trafik yang lebih targeted dan lebih qualified iaitu mereka ini adalah buyers traffics. Mereka ini memang dari golongan pembeli dan kebarangkalian amat-amat tinggi untuk mereka membeli ebook-ebook saya yang berkaitan antara satu-sama lain.
Jika anda perasan, hampir semua strategi yang telah saya kongsikan memang agak advance sedikit. Tapi itulah yang telah terbukti berkesan untuk saya. Mungkin ia turut berkesan untuk anda. Belum cuba, belum tahu.
#6 – Berapakah jumlah niche ebook Tuan Khairul Hazwan setakat ini? Adakah kita perlu mempelbagaikan sumber pendapatan ebook, menerusi niche yang berbeza? Jika perlu, mengapa?
Buat masa ini saya ada ebook dalam niche perkahwinan, rumahtangga dan perceraian. Sekarang saya dalam proses untuk menyiapkan ebook terbaru, dalam niche berkaitan kesihatan dan buat duit pula.
Jadi buat masa ini, saya sudah mempunyai ebook dalam 2 niche dan dalam masa yang sama juga saya sedang mengusahakan projek ebook-ebook dalam 2 niche berbeza lagi.
Bagi saya memang perlu kita pelbagaikan niche ebook kita. Ini bagi menambahkan potensi pendapatan yang kita jana selain untuk elakkan kita berasa ‘bosan’ dengan sesuatu niche itu.
Disamping itu, kita dapat meluaskan lagi saiz pasaran kita.
Jangan salah sangka, saya bukan bermaksud jika kita hanya fokus pada satu niche adalah salah. Boleh sebenarnya, tapi dengan satu syarat, anda perlulah pelbagaikan lagi tajuk-tajuk ebook dalam niche yang sama tersebut.
Sama juga konsepnya, “Don’t put all eggs in one basket.” Jika tiba-tiba salah-satu jualan tajuk ebook anda jatuh-merudum, anda masih ada ebook-ebook lain lagi yang boleh menampung sumber pendapatan anda pada bulan tersebut.
#7 – Apakah pelaburan pertama yang paling penting sebelum memulakan perniagaan ebook, berdasarkan pengalaman Tuan Khairul Hazwan?
Ilmu. Itulah pelaburan yang paling penting sebelum anda memulakan perniagaan ebook. Usah kedekut untuk laburkan duit untuk membeli apa-apa panduan atau buku berkaitan perniagaan ebook.
Bila sudah faham konsepnya, terus bertindak melabur pula dalam aktiviti-aktiviti berkaitan projek ebook anda.
#8 – Berdasarkan pendapat tuan, apakah kriteria-kriteria yang membolehkan ebook kita sentiasa mendapat permintaan?
Untuk memastikan ebook kita sentiasa mendapat permintaan tak kira pada masa kini atau sampai bila-bila, saya menggunakan konsep “The 3 Mega Niches”.
Konsep ini saya ambil dari salah-seorang idola saya dalam bidang pemasaran produk informasi iaitu Eben Pagan. Menurut beliau, tak kira apa jenis produk informasi (khusunya ebook dalam hal ini) jika termasuk dalam kategori “The 3 Mega Niches” ini, maka permintaan untuk ebook tersebut memang pasti dan dijamin akan terus mendapat permintaan pasaran.
3 niche mega yang dimaksudkan adalah:
- Health (Kesihatan)
- Relationship (Perhubungan)
- Money (Penjanaan Wang)
Konsep ini ada kaitan dengan psikologi permintaan dalam hidup seorang manusia itu sendiri.
Mudah sahaja untuk kita fahamkan. Biar saya tanya anda satu soalan ini buat diri anda. Soalan tersebut berbunyi:
“Jika dalam hidup anda kini, anda mempunyai hubungan yang baik bersama orang-orang tersayang anda, anda mempunyai kesihatan yang cukup baik dan tubuh yang cergas serta dalam masa yang sama anda mempunyai wang dan harta yang sudah mampu menampung kehidupan anda selama bertahun-tahun lamanya tanpa anda perlu bekerja, apa lagi yang anda mahu dalam hidup ini?”
Jawapannya sudah tentu memang anda sudah tidak perlukan apa-apa lagi dalam dunia ini. Betul tak? Hidup anda memang sudah mencapai kebahagiaan yang sempurna jika ketiga-tiga permintaan utama di atas berjaya dipenuhi.
Dari situ anda boleh cipta satu ebook yang boleh memenuhi permintaan-permintaan tersebut dalam kehidupan prospek pasaran anda.
Saya berani jamin, jika ebook-ebook anda memang termasuk dalam salah-satu 3 kategori niche tersebut, memang ebook anda saya amat yakin sekali akan mendapat permintaan dan keuntungan untuk jangka masa yang lama.
Sebab itulah saya sendiri mempunyai pelan jangka masa panjang dalam perniagaan ebook saya untuk terus mencipta ebook-ebook yang mempunyai kaitan dengan ketiga-tiga niche tersebut.
#9 – Penggunaan blog merupakan alternatif, untuk kita membina sejumlah komuniti bagi meningkatkan kredibiliti dan kepercayaan, sebelum mula menjual ebook. Adakah tuan menggunakan strategi ini dalam bisnes ebook?
Ya, seperti yang saya gunakan dalam strategi kedua saya untuk menarik trafik. Saya mempunyai sebuah blog berkaitan niche perkahwinan saya iaitu di http://kursusperkahwinan.com/ Di situ saya kongsikan artikel-artikel berkaitan secara percuma untuk membina kepercayaan prospek terhadap diri saya.
Anda boleh lihat sendiri di blog tersebut terdapat banyak komen dan beratus-ratus orang telah berkongsi artikel-artikel tersebut di Facebook mereka.
Boleh saya katakan, di blog tersebutlah saya membina komuniti saya sendiri dalam niche berkaitan ebook yang sedang saya pasarkan.
Hasilnya pendapatan dan jualan ebook yang konsisten setiap bulan berjaya saya perolehi.
#10 – Apakah nasihat Tuan Khairul Hazwan bagi mereka yang ingin memulakan bisnes ebook? Serta apakah langkah pertama yang perlu dilakukan mereka?
Nasihat saya jangan sesekali anda berputus-asa dengan perniagaan ebook, serta fokus pada satu-satu projek sehingga selesai 100%.
Langkah pertama dalam perniagaan ebook adalah menetapkan niche dan tajuk ebook anda. Jika anda silap dalam memilih tajuk dan niche, maka jangan harap anda boleh membina perniagaan ebook yang sebenar, dan menjana pendapatan lumayan daripadanya secara konsisten.
Sebagai permulaan, anda boleh cuba masuk ke dalam salah-satu 3 niche mega yang telah saya kongsikan. InsyaAllah, peluang ebook anda untuk terjual lebih cerah berbanding niche-niche lain terutama sekali di pasaran Malaysia ini.
Semoga berjaya saya ucapkan buat anda dalam perniagaan ebook.
Jangan sesekali berputus-asa dan fokus pada satu-satu projek ebook hingga selesai!
Bagaimana? Adakah tuan dan puan sudah bersedia untuk menjadi usahawan ebook sepenuh masa, seperti Tuan Khairul Hazwan? Tuan dan puan juga boleh muat turun transkrip dalam bentuk PDF. Klik di sini untuk muat turun sekarang.


{ 13 comments… read them below or add one }
Bisnes ebook memang best…Hasil jualan ebook juga saya boleh kawin dan beli kereta..Bermula tahun ni, saya akan keluar daripada niche make money kepada niche lain.Niche IM akan difokuskan kepada penghasilan buku untuk membuka pasaran mereka yang suka printed book.
Tahniah tuan. Terima kasih kerana sudi berkongsi projek-projek terkini tuan. Semoga usaha tuan untuk terus menjadi usahawan ebook sentiasa dipermudahkan.
Benar kata tuan Syam. Tuan memang hebat dan saya pun banyak belajar dari tuan sendiri ketika mula-mula masuk IM dulu. Course tuan Perniagaan Internet 101 tu saya pernah beli dulu, antara course terawal saya beli
Saya turut ingin ucapkan semoga tuan terus sukses dan berjaya dengan perancangan tuan untuk masuk niche lain selain IM.
Salam sejahtera.
Saya sangat berpuas hati dengan perkongsian ini. Alhamdulillah, banyak manfaat yang diperolehi. Terima kasih banyak-banyak.
Terima kasih Hadi di atas maklum-balas. Semoga ianya bermanfaat buat tuan dan boleh tuan cuba aplikasikan dalam perniagaan tuan kelak.
Ramai telah membuktikan yang bisnes ebook boleh menyara hidup.Tidak boleh cari alasan lagi untuk mengelak bila sudah berniat untuk menceburinya.
Benar kata tuan Ahmadyani. Kalau di luar negara, ini sudah menjadi suatu kebiasaan.
Kini mari kita sama-sama buktikan orang-orang Malaysia pun boleh ‘make a living’ dengan bisnes ebook juga. Dah makin ramai sebenarnya kita lihat contoh di Malaysia ni yang boleh buat full-time IM. Contoh macam saya sendiri, tuan Aqif dan tuan Syam, dan ramai lagi yang tak sempat saya sebutkan nama-nama mereka.
Terima kasih kepada Aqif di atas perkongsian temuramah saya di blog tuan.
Terima kasih juga buat Tuan Syam, Hadi dan Ahmad di atas komen tuan-tuan. Saya amat hargainya.
Buat rakan-rakan pembaca, kalau ada sebarang pertanyaan tentang bisnes ebook tak kira secara general mahupun secara mendalam, boleh tanyakan di blogpost ini. InsyaAllah saya akan bantu memberi serba-sedikit pendapat. Lagi meriah kita sembang-sembang di sini, lagi seronok kan.
Saya harap kalau tuan-tuan tidak keberatan, Share kan bersama rakan-rakan tuan di Facebook ya post ini:-)
Bisnes ebook seperti ini saya ibarat bisnes yg lebih kepada mengelentong bakal pembeli.
Banyak alasannya dan awak pun sendiri pun tahu apa dia. Tidak berbaloi untuk pembeli dan ia adalah suatu kezaliman.
Apa yg kalian mahu adalah untung yg gila babi dari normal.
Teruskanlah cari kekayaan cara begini, hari tua atau dalam kubur awak tahulah jawapannya.
terima kasih tuan hazwan kerana sudi berkongsi tips2 yg menarik..
saya mula menggenali tuan selepas membaca ebook tuan bertajuk
15strategiPLR. ebook tersebut sangat berguna bagi newbie seperti saya dalam
mempelajari internet marketing..
jadi, bolehkah saya tahu di mana saya boleh subscribe lagi article2 tuan..
mohon emailkn ke farizmatrix@gmail.com
muhammadfariz recently posted..Bagaimana Menulis Artikel, Disayang Pembaca (Soal Jawab Pembaca #2)
Pada pandangan saya sdr Aqif berjaya menulis artikel yang berbentuk informasi dan iklan dalam temuramah ini. Penulis blog lazimnya memerah otak mencari idea penulisan tetapi sdr Aqif menggubah artikel itu kepada bentuk temuramah. Sebagai affiliate ebook ia adalah promosi hebat dalam blog.Syabas!
rush8 recently posted..Rancang Nak Kahwin
Assalamualaikum…
Sy sgt teruja untuk memulakan penulisan… Lebih lebih lagi lepas sesi dgn saudara aqif n saudara zambri masa intensif jutawan industri di pgrm cheras baru baru ini…. Tak sabar tggu buku 7hari ebook smpi….
Bagi sy, semua yg sy baca, semua ebook yg sy dah beli memang bermanfaat n sarat dgn ilmu walaupun ada yg persembahannya kurang memuaskan, tapi isinya yg penting kan…..
Terima kasih x terhingga pd saudara aqif atas setiap perkongsian berguna anda….
Teima kasih daun keladi, klu ada share lagi….
* p/s: maksud ebook persembahan x cantik yg sy dah beli tersebut adalah dr penulis yg lain tau…..