Siri Bicara Penulis adalah satu kategori yang diwujudkan dalam blog ini, bagi berkongsi ilmu mengenai dunia penulisan secara mendalam oleh penulis-penulis yang berpengalaman.

Dalam siri kali ini, kita akan bersama-sama membaca temubual eksklusif bersama Cikpuan Malina J. Beliau adalah seorang penulis dan penterjemah sepenuh masa.
Ingin tahu bagaimana beliau menjadi seorang penulis sepenuh masa? Serta bagaimana kita dapat mengikuti jejaknya mulai hari ini? Maka luangkan masa untuk membaca 11 soalan eksklusif dalam temuramah ini.
#1 - Boleh perkenalkan nama cikpuan, asal di mana dan apakah kerjaya cikpuan?
Assalamualaikum wrt wbt. Nama saya Malina J dan berasal dari Kuala Lumpur. Saya merupakan seorang penulis dan penterjemah sepenuh masa.
Saya mulai menceburi bidang penulisan pada tahun 2009 secara separuh masa. Alhamdulillah, pada tahun 2011, saya kini merupakan penulis dan penterjemah sepenuh masa.
Perkembangan kerjaya saya direkodkan menerusi blog Malina J. Novelis dan Fan Page Malina J.:
Buku terbaru saya berjudul Urus Sendiri SOHO Anda dan merupakan projek bersama Tuan Zulfadli (pengasas Smartusaha.Com).
#2 – Bagaimana seorang penulis itu dapat mengatasi masalah kekeringan idea atau writers block?
Bagi mengatasi masalah kekeringan idea atau writers block, saya mencadangkan penulis berehat. Writers block terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Begitu pun, penulis sendiri mengizinkan kehadiran writers block.
Sebaiknya, apabila mula merasai writers block, ambil ruang waktu dan berehat. Tinggalkan kerja menulis dan lakukan sesuatu bagi mengalih fokus.
Bagi Malina J, apabila mula merasai stres yang boleh membawa kepada writers block, saya berehat sebentar. Kebiasaannya saya melukis. Saya memilih lukisan kerana ia seni abstrak yang membuka ruang otak kiri dan otak kanan bergerak aktif. Kerja-kerja lukisan ini ada diselitkan dalam blog dan fan page Saya Suka Doodle.
Bagi situasi kekeringan idea pula, saya mengamalkan sistem kerja peta minda dan merangka kerja. Bagi setiap kerja penulisan, terlebih dahulu saya melakukan pemerhatian dan bacaan secara cepat bagi mendapatkan idea.
Apabila sudah mempunyai idea dan poin penting, barulah saya menulis. Cara ini dapat mengelak situasi penulis kekeringan idea. Penulisan tanpa perancangan ibarat belayar ke hujung dunia, tidak diketahui tempat pelabuhannya. Sampai satu peringkat, penulis terkandas dan kerja terbengkalai.
#3 – Adakah penulis boleh hidup selesa dengan hanya menulis?
Ya. Kerjaya penulis sebenarnya adalah satu modul bisnes. Penulis dan buku-bukunya adalah produk. Penulis perlu melakukan pemasaran bagi melariskan jualan dan lain-lain. Ia tidak jauh berbeza dengan kerjaya seorang selebriti.
Penulis hidup dalam industri bakat, begitu juga selebriti dan bakat-bakat yang lain.
Oleh itu, sekiranya ia diusahakan secara sambil lewa dan lepas tangan, hasilnya tidak mampu menjana pendapatan seterusnya menyara kehidupan. Penulis perlu menguruskan kerjayanya seperti menguruskan sebuah syarikat.
Sebuah syarikat yang membangun dengan baik, tersusun,punya visi dan misi, insyaALLAH membawa pulangan yang memuaskan. Kita juga sedia maklum, pertumbuhan sebuah syarikat itu berkala, terlalu cepat juga tidak bagus, terlalu lambat juga tidak bagus.
Dalam bisnes juga, ada waktu turun naiknya. Apabila kita melihat kerjaya penulis sebagai satu bisnes, imaginasi kita juga mulai aktif membuka ruang seterusnya menghasilkan pendapatan setimpal.
Pada tahun 2011, jenama Malina J. mulai memasuki pasaran bakat sebagai penulis sepenuh masa. InsyaALLAH, saya positif memandang ke hadapan dan membina jenama Malina J seperti membina sebuah syarikat.
#4 – Apakah projek buku yang sedang cikpuan usahakan ketika ini?
Pada waktu ini, saya masih mengusahakan empat proposal fiksyen untuk tahun 2012. Saya memegang nasihat mentor saya, supaya merancang spesifik hala tuju kerjaya penulis.
Kesemua proposal fiksyen ini ditulis dalam bentuk sinopsis lengkap bagi setiap bab, bagi mengelakkan kekeringan idea pada peringkat menulis kelak. Mengikut sasaran, kerja-kerja merangka sinopsis ini selesai pada penghujung bulan November ini.
Bagi projek non-fiksyen pula, belum ada projek terbaru. InsyaALLAH pada tahun hadapan, menggunakan buku Urus Sendiri SOHO Anda, saya dan penulis bersama mahu mengusahakan bengkel/workshop kepada mereka yang berminat dengan pengurusan SOHO. Ia masih dalam peringkat perbincangan.
#5 – Promosi dan pemasaran jelas penting bagi menjadikan seseorang itu penulis sepenuh masa. Apakah 3 strategi pemasaran yang cikpuan gunakan sehingga hari ini?
Tahun 2011 adalah tahun pertama Malina J sebagai penulis sepenuh masa. Pemasaran bagi diri saya dibahagikan kepada dua jenis:
- Pemasaran Berperingkat dan
- Pemasaran Berterusan.
Pemasaran Berperingkat bagi jenama Malina J masih pada tahap pertama. Pada tahun ini, saya memperkenalkan diri sebagai seorang penulis sepenuh masa dan menghebahkan kepada khalayak saya sedang merangka empat sinopsis fiksyen bagi kegunaan tahun 2012.
Oleh kerana sebelum ini saya memasuki pasaran penulisan dengan buku non-fiksyen, kini saya bekerja keras memperkenalkan jenama Malina J sebagai seorang penulis buku fiksyen.
Saya mengambil ruang waktu tahun pertama ini bagi menjalin hubungan dengan para penulis dan editor. Saya juga menyertai event tertentu (selective event). Tujuannya adalah membawa jenama Malina J ke dalam pasaran secara berperingkat.
Saya mengurangkan penglibatan diri dalam projek yang boleh mengelirukan pasaran terhadap jenama ini. Ia masih dilakukan secara berperingkat. Pada peringkat kedua nanti (tahun hadapan), saya akan memperkenalkan lebih detail berkaitan jenama Malina J.
Pemasaran berterusan pula dilakukan menerusi blog dan Facebook. Saya belajar daripada penulis senior bagi mengenal pasti kemas kini berterusan yang bermanfaat kepada jenama dan sedaya upaya mengelakkan kemas kini yang tidak berkaitan.
#6 – Bagaimana untuk melatih diri menghasilkan penulisan yang boleh meningkatkan kredibiliti?
Bagi menghasilkan penulisan yang berkredibiliti, pastikan kita mempunyai banyak sumber rujukan. Bayangkan sahaja sebuah kajian yang ditulis tanpa sokongan fakta dan sorotan kajian, ia penuh dengan pendapat penulis sahaja.
Ia mengurangkan kredibiliti. Sesiapa juga boleh memberi pendapat dan pandangan. Begitu pun, pandangan seseorang yang terhasil daripada rujukan dan pembacaannya yang luas, membezakan segalanya.
Dapatkan fakta dan rujukan bagi meningkatkan kredibiliti kita dalam dunia penulisan. Sekiranya mampu, bangunkan bank idea dari masa ke masa. Bank idea ini mengandungi fakta-fakta yang kita temui menerusi pembacaan. Ia boleh digunakan dalam penulisan kita kelak.
#7 – Adakah menjadi pakar bidang itu penting? Jika ya, apakah asas yang perlu dikuasai sebelum menjadi pakar bidang?
Dalam penulisan non fiksyen, menjadi pakar bidang itu penting. Salah satu usaha yang boleh dilakukan adalah menetapkan positioning penulis dalam pasaran.
Sebagai seorang penulis, kita mahu dikenali sebagai penulis apa. Sekiranya kita mahu menjadi penulis berkaitan perhubungan (relationship), fokus pada bahagian itu. Bersiap sedia memasarkan diri sebagai pakar bidang itu, menambah bacaan berkaitan bidang itu dan tidak mencampurkan jenama kita ini dengan bidang lain.
Sebagai contoh, bulan ini kita memasarkan diri sebagai penulis bidang perhubungan, bulan hadapan kita memfokus kepada bidang kewangan pula. Kecelaruan sebegini menyukarkan kita merangka pemasaran.
#8 – Pada pandangan dan pengalaman cikpuan, bagaimana potensi ebook dapat membantu penulis tempatan?
Dunia ebook sedang berkembang di Malaysia. Penulis tidak boleh menutup mata dengan merasakan ebook tidak relevan sebagai medium bacaan. Ebook dapat membantu kita memperkenalkan jenama. Jika jenama sudah terkenal, survival karya penulis dalam apa jua medium bacaan menjadi mudah.
Penulis menggunakan ebook bagi membangun kesedaran jenama di kalangan pembaca generasi baru. Ebook tidak digunakan sebagai sumber pendapatan utama pada peringkat sekarang. Ia digunakan bagi membangun jenama penulis.
Jika mempunyai kebolehan, tulis ebook dan edarkan secara percuma. Ebook percuma tidak perlu panjang seperti buku fizikal, sekitar 70-80 halaman adalah cukup bagi memupuk habit membaca karya digital dan memperkenalkan jenama. Bina plan pemasaran supaya
Penting, pembaca dan fanatik jenama penulis itu sudah bersedia membaca karya penulis dalam medium berbeza di masa hadapan. Usaha kita pada hari ini bukan untuk dituai serta merta, hasil kita perolehi dalam jangka masa panjang.
#9 – Apakah kepentingan memiliki blog sebagai seorang penulis?
Blog merupakan medium online yang menghubungkan penulis dengan pasaran (pembaca, penerbit, ejen). Blog menjadi portfolio online penulis.
Menerusi blog, pasaran mengetahui perkembangan kerjaya penulis dan mencipta komunikasi berkesan.
#10 – Apakah kelebihan menggunakan nama pena? Bagaimana untuk memilih nama pena yang baik?
Penulis boleh menggunakan nama sebenar sekiranya ia sesuai dengan pasaran. Saya melihat kerjaya penulis sebagai satu modul bisnes.
Jika saya berniaga keropok lekor, dan nama syarikat saya pula Kedai Kain Gred A, pasti ia menimbulkan kekeliruan kepada pasaran. Nama pena seperti juga nama syarikat, ia perlu sesuai dengan pasaran.
Tip memilih nama pena adalah:
- Memilih nama yang mudah disebut,
- Mudah dieja, dan
- Mudah dirakamkan ejaannya dalam minda.
Nama yang mudah kita sebut, bermaksud mudah disebut oleh majoriti bangsa di Malaysia. Nama yang sukar dieja, sukar kita ingati. Fikirkan nama yang mudah dan mesra kepada pasaran pembaca.
#11- Mohon kongsikan buku terkini cikpuan.
Buku terbaru saya berjudul Urus Sendiri SOHO Anda, tulisan bersama Tuan Zufadli. Buku ini berkenaan pengurusan Small Office Home Office (SOHO). Buku ini boleh dibeli menerusi BookCafe.
Saya juga sedang menterjemah buku keempat bagi tahun ini bersama penerbit PTS. InsyaALLAH, pada tahun hadapan, fokus Malina J adalah menulis empat buah novel dan menterjemah dua buah buku sepanjang tahun.
Ikuti perkembangan kerjaya Malina J menerusi fanpage dan blog:
Saya juga ingin berkongsi projek terkini Malina J. Pada bulan November, bersempena National Novel Writing Month (NaNoWriMo), Malina J turut mengambil bahagian.
Fokus program ini adalah menulis sebuah novel (50,000 perkataan) dalam masa sebulan. Semoga Malina J berjaya mengharungi cabaran hingga ke penghujungnya. Amin!
Terima kasih kepada Tuan Aqif Azizan kerana mengundang saya bagi sesi temuramah ini. Semoga Tuan Aqif Azizan juga terus bersinar dan berjaya dalam dunia penulisan. Amin.
Wassalam.
Buat Duit Dengan Menulis Hari Ini
Tertekan dengan maklumat buat duit dengan menulis di luar sana? Jalan penyelesaiannya adalah dengan memiliki ebook ’7 Hari Siapkan Ebook’. Sebuah ebook yang akan mendedahkan langkah demi langkah untuk menyiapkan ebook dalam masa kurang 7 hari.
Semakin banyak ebook, semakin tinggi peluang kita untuk menjana pendapatan lumayan dengan menulis. Klik pada imej di bawah untuk maklumat lanjut:
Dapatkan ’7 Hari Siapkan Ebook’ (TERHAD) Sekarang.



{ 10 comments… read them below or add one }
Alhamdulillah, saya tertarik dengan jawapan bagi soalan no. 2. Sering juga saya menghadapi keadaan seperti itu.
Banyak lagi yang mesti saya pelajari.
Terima kasih.
Sama-sama tuan. Semoga ia bermanfaat.
Terima kasih pada tuan kerana mewujudkan kategori ini. Harap soalannya berlainan untuk penulis yang lain.
ahmadyani recently posted..Miskin Dalam Kekayaan, Derita Dalam Kebahagiaan
Sama-sama tuan. Insya Allah, setiap penulis akan diajukan
soalan yang berbeza.
Jika tuan ada cadangan soalan, boleh beritahu saya menerusi
ruangan komen ini.
Terima kasih kembali.
emm..siap dapat interview lagi tu..
ohcikgu recently posted..5,000 mahasiswa UPSI berdemo tuntut jaminan yang sama dengan penempatan GSTT
Alang-alang menyeluk perkasam. Biar sampai temubual penulis.
Hehehe. Semoga ia bermanfaat.
Ada cita-cita juga mahu menemu bual penulis sebenarnya. Tetapi belum diizinkan Allah lagi.

muhammad fakhruddin recently posted..Anonymous, Bukan Saasatul Ibaad
Sungguh memberikan inspirasi terutama soalan #4, saya buat masa ini separuh menulis dan separuh lagi mendesain.
Hazlam recently posted..Deko bersama Eric,surprise
Sama-sama tuan. Semoga terus berjaya!
Cikpuan Malina J. bukan seorang yang biasa-biasa dalam industrinya.
Setiap perkataan dan ayat yang dirangka Tuan Aqif amat bermakna bagi diri yang ingin terus menerus menulis.
Rasa lebih bersemangat untuk terus menulis.